- Tuesday, March 4, 2014

Dan Rahmat Tuhan

Seorang hamba derhaka, menentang Sang Pencipta nan Maha Pengampun





Teringat sebuah kisah anjing dan pelacur. Seekor anjing haus berjalan di tengah padang pasir. Sedang kehausan itu bakal membunuh nyawa anjing. Dari kejauhan, seorang wanita berjalan di padang pasir yang sama. Dia juga dahaga. Di tengah padang pasir yang panas, tiadalah satu nikmat pun yang dia ingini kecuali nikmat meneguk air yang menyegarkan. Tidaklah wanita itu tahu apa yang bakal melanda dirinya. Seperti kita, wanita itu hanya punya pengetahuan tentang apa yang dirancangnya. Di tangan Sang Pencipta lah segala pengetahuan. Zahir dan batin. 

Umum mengenali wanita tersebut sebagai seorang perempuan murahan. Tidak punya mahkota. Begitu kata manusia kepadanya. Wanita tersebut sudah lali dan masak dengan cerca masyarakat kepadanya. Dia telan kepahitan. Ya, wanita itu pelacur! menggadai harga diri kepada lelaki buas. 

Dengan takdir Sang Pencipta, wanita pelacur berselisih dengan anjing haus. Anjing mungkin berkurap, siapa tahu? anjing jalanan, anjing liar, anjing terabai tanpa tuan. Entah selamat entah tidak. Hari ini, siapa takutkan gigitan anjing liar? silap-silap boleh dapat virus Rabies. Dapat penyakit anjing gila!! Tapi wanita pelacur menghulur air kepada anjing haus itu. Di tengah padang pasir yang panas, perempuan murah berkongsi nikmat air yang nyaman dan menyejukkan dengan seekor anjing hina!
Dengan Rahmat Tuhannya yang Maha Pengampun,perempuan pelacur diizinkan masuk syurga.



Dari Abi Hurairah r.a. dari Rasulullah saw berabda, “Telah diampuni seorang wanita penzina yang lewat di depan anjing yang menjulurkan lidahnya pada sebuah perigi. Dia berkata, “Anjing ini hampir mati kehausan”. Lalu dilepasnya sepatunya lalu diikatnya dengan kerudungnya lalu diberinya minum. Maka diampuni wanita itu karena memberi minum. (HR Bukhari)






* * *


Begitu kehidupan kita seharian. Tiap hari beribadat mencari pahala daripada Allah. Tiap hari melaksanakan dakwah untuk melihat cita Islam terlaksana. Tiap hari memahamkan manusia tentang pentingnya kembali hidup di bawah naungan Alquran. Semuanya untuk mengaut pahala daripada Allah. Sehingga risau-risau, kita beranggapan bahawa amalan kita itulah yang menjadi penyebab kita menjadi calon ahli syurga.

Kadang dalam kehidupan ini, kita merasa telah melakukan berjuta kebaikan. Sehingga kalau ingin dibukukan apa yang kita lakukan, habislah seluruh pokok-pokok dan lautan menjadi tinta. Sampai tahap itu kita beranggapan banyaknya kebaikan yang kita lakukan. Sehingga sampai satu tahap, kita merasakan kita telah layak menjadi ahli syurga dengan segala amalan yang telah kita lakukan.

Tapi kawan, kisah pendek yang diriwayatkan Bukhari mengajar kita, bahawa sesungguhnya semua amalan kita tidak akan memberikan kita tempat yang pasti di syurga. Hanya  rahmat Allah sahaja lah yang memberikan kita tempat di syurga dan menjauhkan kita dari api nerakaNya. Maka tiadalah ibadat yang kita lakukan itu, memberi lesen kepada kita untuk berbangga. Tidaklah kebaikan mendarah daging di setiap vena kita, menyebabkan kita lebih baik  daripada Sang Penjahat. Kerana sejahat-jahat pelacur pun, dengan rahmat Tuhannya, syurga menjadi tempat kembali.





nukilan JebatBukanPenderhaka dengan izin Tuhannya

No comments:

Post a Comment