- Tuesday, March 4, 2014

Tiga Mac Dua Ribu Empat Belas





Hari ini empat Mac dua ribu empat belas.

Bangkit dari tidur pukul 6.45 minit pagi. Sudah tegak matahari di langit. Cis!! binatang lagi awal bangun dan bertasbih kepada Allah berbanding Aku. Pantas menuju kamar air, berwuduk dan menunaikan fardu subuh gajah. Mungkin lagi teruk, dinasour jenis berkepak. Usai fardu subuh, bangkit semula membayar witir semalam yang tertinggal. Kemudian, menuju pantri dan meneguk kopi pekat panas dari mulut cangkir kecil berwarna putih bersih. Bersarapan sederhana, dua keping roti, disapu jem bluberri berjenama Amerika.

Jam dinding silver berjenama Quartz, menunjukkan pukul 7.30 minit pagi ketika Aku keluar dari rumah menuju lif. Sampai di hospital tepat pukul 8.04 minit pagi, Dr Mohamad sudah berteriakan di tingkat lima. Beliau bertanya "Kenapa datang lewat!". Kecut perut mendengar suara Dr Mohamad. Usai dengan kertas kehadiran pelajar, pelajar-pelajar perubatan semuanya bertebaran di seluruh tingkat lima, mencari pesakit. Tingkat lima, wad pembedahan. Pesakit hampir semuanya berumur 45 tahun ke atas, kadang sampai 90 tahun pun ada. Duduklah aku di sana, bersama mereka sehingga pukul 12.30 minit tengah hari. Dalam tempoh masa ini, hati mesti kebal, telinga harus peka, otak mesti tajam, kalau tidak Aku akan dimarahi doktor, dan akhirnya di akhir hari ini aku sudah bertukar menjadi abu.

Solat Farhu Zohor, isi perut kalau sempat, dan terus menuju Dewan Kuliah. Mendengar kuliah selama dua hingga tiga jam. Menahan lapar, kalau tak sempat makan, dan semestinya menahan mata dari terlelap. Petang bila mentari sudah mula terbenam, Aku akan kembali ke rumah. Malam itu usai Maghrib, Isya dan sedikit Quran, aku membuka laman sesawang sosial. Menelaah pelajaran dan entah pukul berapa kepala Aku sudah berada di atas meja. Berbantalkan buku. Mengharapkan osmosis berlaku diantara buku dan otak sepanjang berketiduran.

Kalau Allah bagi rezeki, esok awal-awal pagi Aku nak bangun Qiam dan sambung membaca ayat-ayat Allah

Semalam tiga Mac dua ribu empat belas.

Hari ini, hidup Aku macam biasa. Sedikit peningkatan pada waktu Subuh. Aku bangun awal sedikit daripada binatang! Sempat duduk tahiyat akhir bersama imam di Masjid Nuh Qudah. Berjemaah la juga di masjid. Walaupun agak lewat. Agak?

Sampai awal Ke hospital, alhamdulillah doktor hari ini tidak malignant. Tak garang! Untung Aku hari ini. Belajar pun dapat banyak. Yessss.

Petang sempat mengalas perut sebelum masuk ke dewan kuliah. Black hole kata kawan-kawan sekuliah Aku. Selalunya Aku hanya gelak kecil sahaja.

Balik ke rumah petang itu, aku habiskan dua bab besar dalam buku teks perubatan. Entah apa tajuk bab itu, Aku sudah lupa. Mungkin arteri dan vena. Atau perut dan abdomen. Entah.

Malam Aku tidur selesa. Diatas katil bersaiz queen. Kepala beralas bantal.


Kelmarin dua Mac.
Rutin sama.

Sehari sebelum kelmarin satu Mac.
Rutin sama. mungkin juga membosankan.


Tempoh hari dua puluh delapan Febuari. 
Rutin sama.

Bagaimana hari-hari kalian? Adakah perkara yang sama berulang setiap hari? Atau semakin berkurang kah kualiti kehidupan kalian? Atau makin baik kah kondisi kehidupan kalian? Penuh dengan aktiviti yang menyibukkan diri. Atau penuh dengan aktiviti yang sekadar menghabiskan masa. Atau hidup kalian sama seperti Aku, mengulang kitaran bosan setiap hari. Tanpa, tanpa peningkatan diri, tanpa peningkatan kepada umah. Bosan.


Semalam tiga haribulan Mac dua ribu empat belas. Aku hidup macam biasa. Semua orang hidup macam biasa. Seolah tiada apa-apa yang berlaku. Sedangkan sembilan puluh tahun yang (90) yang lepas, inilah hari malam buat langit dan bumi, serta seluruh isinya.

* * *



3 Mac 1924.
Inilah tarikh kesedihan. Satu sistem pemerintahan berkhalifah bakal hilang dari dunia. Sebuah sistem yang disebut oleh barat sebagai nadi kepada Negara Turki Uthmaniyah. Pemuda-pemuda islam diseluruh dunia seolah-olah redha dengan kejatuhan khalifah. Tiada seruan jihad dilaungkan, tiada langsung usaha untuk mengembalikan khalifah. 

Sedangkan seribu tahun lampau, ketika nabi wafat, jenazah baginda tidak disemadikan selagi khalifah baru tidak dilantik. Sehinggalah Abu Bakar dilantik menjadi ketua orang mukmin (amirul mukminin) aka khalifah, barulah jasad baginda yang mulia itu disemadikan. Begitu kepentingan khalifah! Lebih penting daripada menguruskan jenazah nabi! Namun hari ini, kisah ini seolah-olah tidak memberi impak kepada kita.

Dalam masa 90-100 tahun pemerintahan berkhalifah berkuat-kuasa di muka bumi Allah, umat islam dimuliakan daripada kaum yang mendiami padang pasir semenanjung hijaz yang tidak bernilai, kepada pemegang pusat tamadun dunia di barat, Andalusia, atau lebih dikenali sebagai Sepanyol pada hari ini. Namun, pada hari ini dalam masa 90-100 tahun tanpa khalifah, dunia islam rabak. Tanah-tanah milik umat islam dari timur ke barat, dipecah-pecahkan menggunakan dasar pecah dan perintah penjajah. Sebuah umat yang bersatu atas dasar akidah, dipecahkan mengikut negara bangsa. Kita seolah-olah lupa firman Tuhannya dalam surah Al-Hujarat :


Sesungguhnya umat Islam itu bersaudara, maka damaikanlah diantara dua saudara kamu (jika mereka berselisih). Bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.


Dahulu, dunia memandang wanita islam sebagai manusia yang berkedudukan tinggi. Allah mengutus RasulNya untuk mengangkat martabat wanita. Mengangkat martabat manusia, dari perhambaan sesama makhluk kepada perhambaan kepada Allah, pencipta sekalian makhluk. Jika seinci kulit muslimah kita diganggu oleh manusia kuffar, maka khalifah akan menghantar seangkatan tentera untuk membela muslimah kita itu. Sehingga sejarah merekodkan, penawanan sebuah bandar oleh tentera muslimin demi menghentikan kezaliman terhadap muslimah.

Hari ini, kita kembali memperhambakan diri kepada makhluk. Kita menjadi hamba dunia, menjadi hamba kerja, menjadi hamba kesibukan! Sedangkan muslimah kita di Palestin, Syria dan diseantero dunia meminta dan merayu pertolongan kita. Mereka di bunuh seperti serangga, dirogol seumpama tiada harga diri dan dipisahkan dengn anak-anak. Semuanya disebabkan ketiadaan perisai ummah, Khalifah:


Sesungguhnya imam itu laksana perisai, di mana-mana orang berperang dibelakangnya dan menjadikannya sebagai pelindung.
Hr : Muslim


Ini tugas kita pemuda, untuk kembalikan sistem ini di tempatnya. Kita mesti yakin bahawa sesungguhnya hanyalah islam sahaja yang boleh menyelesaikan setiap masalah dunia, mesti ikhlas memperjuangkan agama ini dan tidak mengharapkan balasan serta membersihkan diri dari sifat yang tak elok, bersemangat waja dalam segala usaha kita dan akhirnya pemuda seperti kita mestilah melaksanakan segala tangungjawab dengan sempurna. Yakin, ikhlas, bersemangat dan beramal. keempat sifat ini hanya ada pada orang muda, tiada pada orang tua dan kanak-kanak kecil. Maka kitalah ejen perubah. InsyAllah pembela umat ini.


* * *

3 Mac 2014
Itu semua 90 tahun yang lepas. Usia kita sudah tua rupannya. Sudah tua rupanya kita hidup tanpa sistem berkhalifah. Sampai hilang semua sensitiviti kita. Sampai hari Valentines dua minggu lepas lagi kita raikan dengan meriah. Sampai kita rasa biasa dengan kemungkaran. Seperti pesakit-pesakit tua di hospital, begitulah islam hari ini, jiwa pemudanya sudah hilang. Dan butuh kepada rawatan. Begitu hikmah Khalifah Umar Abdul Aziz, apabila beliau ungkapkan :



aku sedang merawat ummah ini. Ummah ini diserang penyakit yang tidak pernah dirawat oleh sesiapa pun sebelum ini


Kita mulakan perubahan dari perkara asas. Kita ikuti formula kebangkitan yang di ajarkan oleh Rasul SAW terchintah. Ubah diri-diri kita yang berangka kosong, kepada seseorang yang bernilai. Pendek kata, lahirkan individu muslim daripada diri kita yang islam hanya pada nama. Contoh : penghasilan individu-individu muslim seperti Abu bakar, Umar dan Mus'ab yang melalui proses pentarbiyahan nabi.

Kita perkasakan, institusi keluarga kita. Agar nanti, anak-anak kita teguh menongkah arus jahiliyah yang tiada berhati perut, tidak kenal erti penat lelah. Menyerang dan akan terus menyerang kita dari pelbagai sudut. Kemudian, kita tubuhkan masyarakat islam, yang secara total menyokong pemerintahan kerajaan yang menyokong segala kebenaran dan kebaikan : Kerajaan Islam. Dan kerajaan kita mestilah memerintah di dalam sebuah negara islam. Negara ini kita gunakan untuk mempamerkan islam pada institusi pendidikan, ketenteraan dan semua institusi Negara kita. Agar manusia melihat betapa sistem islam adalah sistem terbaik! Sistem yang mengutamakan kebajikan masyarakat dan mengetepikan kepentingan dan keuntungan  peribadi.

Negara-negara islam kita akan membentuk empayar islam yang luas, akhirnya menjadilah kita guru atau ustaz kepada alam ini. Islam atau dengan kata lain Al-quran dan Sunnah, atau Allah menjadi rujukan kepada alam ini. Kita adalah PBB! Kita adalah UN! agar dunia ini tenang, dan keadilan bermaharajalela di muka bumi. Menggantikan kebathilan jahiliyah yang menenatkan.




Dengan itu, Aku mahu ucapkan : Selamat ulang tahun ke 90 tanpa khalifah umat islam. Tetaplah berjuang hingga umat ini terbela.



nukilan JebatBukanPenderhaka dengan izin Tuhannya

No comments:

Post a Comment